"Andai Kalian Mengetahui Apa Yang Aku Ketahui, Nescaya Kalian Akan Sedikit Tertawa Dan Banyak Menangis.”(Hadith Riwayat: Bukhari Dan Muslim)..






Friday, 26 May 2017

Bergurau Senda Dalam Kehidupan

“BERWASPADALAH kamu dalam setiap gurau dan kata-kata. Setiap apa yang dituturkan oleh lidahmu akan dipertanggungjawabkan ke atas diri kamu di akhirat kelak,” peringatan Saidina Ali.. Pakar psikologi menyatakan bahawa 80 peratus masalah dalam perhubungan samaada perkahwinan, persahabatan, kepimpinan, pengurusan dan sebagainya bermula daripada faktor komunikasi.

Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Baginda bersabda, “Rehatkanlah hati kamu sesaat demi sesaat, kerana apabila hati telah tumpul (letih) maka ia akan buta”. Pada waktu yang lain, baginda juga bersabda, “Orang yang tidak bergembira dan tidak membuat orang lain gembira, adalah orang yang tidak memiliki kebaikan”.

Ada gurauan yang membahagiakan diri dan membahagiakan orang lain. Itu adalah gurauan berpahala. Dalam pada masa yang sama terdapat gurauan yang merosakkan diri dan merosakkan hubungan dengan menimbulkan krisis, persengketaan dan pergaduhan. Ia menyumbang kepada dosa.

Hidup perlu kepada gurauan umpama rampah ratus dan perencah penyedap jalan cerita sebuah kehidupan. Menerusi gurauan menjadi sumber kepada senyuman dan keceriaan. Hidup tanpa gurauan bak masakan tanpa garam. Prasyarat menghasilkan masakan yang bukan sekadar sedap bahkan berkhasiat perlu kepada garam. Namun, gurauan tidak boleh keterlaluan atau melampaui batas. Dimetaforakan umpama garam, jika berlebihan dalam masakan bukan sekadar jauh dari jamahan malah membawa kepada kemudaratan kesihatan. Saidina Ali berpesan, “Masukkanlah gurauan dalam kata-katamu sekadar memasukkan garam ke dalam masakanmu”. Sebab itu, perlu memasukkan eleman gurauan dalam kuantiti sedikit sahaja. Walaupun sedikit tetapi amat diperlukan untuk menyuntik kegembiraan dalam diri yang juga akan dikongsi dengan yang lain.

Dalam bab gurauan ini juga, figura yang sangat sinonim dan sangat raleven dijadikan idola tentunya Rasulullah SAW. Baginda dikatogorikan sebagai manusia yang ‘spoting’ dalam pergaulannya. Sepertimana yang pernah dinyatakan oleh Sayyidina Ali, “Sesiapa yang baru kenal dengan Rasulullah, maka dia akan merasa takut, namun semakin banyak dan lama orang mengenalinya maka semakin besar kecintaan yang tumbuh di hati”. Sahabat yang lain berkata, “Dahulu, sekarang dan yang akan datang, tiada seorang pun yang dapat menandingi Baginda”. Rasulullah itu ada Jalalnya juga Jamalnya; ada kehebatan dan ada keindahan dalam sifat dan peribadi Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW adalah individu yang mesra dan mudah dimesrai. Adakala baginda bergurau dengan orang dan ada ketika orang lain bergurau dengan baginda. Pernah diriwayatkan seorang sahabat yang berperwatakan lucu dan ceria bernama Nu’aiman ibnu Amr Al-Anshary. Nu’aiman terkenal sebagai sahabat yang suka bergurau, sehingga Rasulullah sendiri bersabda, “Nu’aiman akan masuk syurga sambil tertawa, kerana dia suka membuat ku tertawa”. Pada situasi lain, ketika Rasulullah SAW mengunjungi Nu’aiman yang sedang sakit mata. Baginda melihat Nu’aiman sedang asyik makan kurma. Baginda kemudian mengajukan pertanyaan kepadanya, “Bolehkah kamu makan kurma, sedangkan matamu sedang sakit?” Nu’aiman menjawab, “Saya makan menggunakan mata yang satu lagi”. Mendengar jawapan Nu’aiman ini, Rasul tertawa sehingga kelihatan gigi gerahamnya.

Memperkatakan tentang gurauan, Rasulullah SAW menggariskan tiga perkara sebagai tujuan gurauan. Pertama, untuk mesrakan hubungan. Gurauan boleh dijadikan sebagai mukadimah perkenalan untuk menyambung silaturrahim. Ia dijadikan sebagai jambatan dalam perhubungan yang merobohkan tembok keakuan.

Selain itu, gurauan dibolehkan atas tujuan meghiburkan. Adakalanya situasi diuji dan dalam kesedihan, gurauan mampu menawarkan gundah gulana itu. Saat seseorang berduka, mampu diubah hanya dengan kata-kata. Tatkala gurauan itu kena pada kata-kata dan masanya, ia akan melahirkan keceriaan yang tanpa disangka mengundang bahagia sebagaimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya, “Sesungguhnya dalam penjelasan (bayan) itu mengandung sihir, atau sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan) itu mengandung sihir.” (hadis riwayat Bukhari). Sesungguhnya kata-kata yang lahir daripada hati boleh mengubah hati.

Daripada Anas bin Malik r.a beliau berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW selalu bergurau dengan kami sehingga Baginda pernah bersabda kepada adik kecilku, Ya Aba Umair , Apa yang dibuat oleh Nughair.” (Muttafaqun Alaih). Nughair adalah burung kecil yang menyerupai burung merpati. Adik kepada Anas sering bermain dengan burung tersebut. Namun kemudiannya burung itu mati.  Lalu Baginda SAW pun bergurau dengannya untuk membuat dia gembira. Satu contoh yang amat baik apabila Rasulullah SAW yang begitu agung sanggup merendah diri bertanyakan tentang burung yang telah mati dan kesannya anak tersebut terlalu teruja disapa Rasulullah sehingga hilang kesedihannya sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Manawi, “Malah dia menjadi amat senang hati kerana Rasulullah sendiri berbicara dengannya. Hatinya menjadi riang. Dia bangga kerana Baginda melayannya. Habis satu keluarga diceritakan mengenai hal ini. Rasulullah bercakap dengan saya! Baginda bertanya pada saya! Dia menyibukkan dirinya dengan hal ini sehingga dengannya hilanglah rasa sedihnya. Si kecil ini mempunyai kebijaksanaan dan cerdik, oleh kerana itulah Baginda SAW berbicara dengannya begitu.”

Akhir sekali, gurauan dibolehkan untuk mendidik dan mentarbiah. Tarbiah yang disampaikan dengan terlalu serius akan menyebabkan letih dan rasa dipersalahkan. Dalam gurauan yang bijak, tidak akan menyalahkan orang tetapi timbulkan rasa bersalah. Antara senda gurauan Rasulullah SAW seperti diceritakan al-Hasan, seorang perempuan tua datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga. Maka Rasulullah SAW bersabda: Wahai ibu pulan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga. Lalu menangislah si perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah SAW bersabda: Khabarkan kepada perempuan itu sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua.” Pengajaran daripada gurauan ini adalah muda bukan sekali tetapi muda dua kali iaitu muda yang akan tua di dunia ini dan kedua muda yang tidak akan tua di akhirat nanti. Oleh itu, manfaatkan sepenuhnya muda yang sementara ini untuk membuat kebaikan supaya peroleh muda yang selama-lamanya.

Bergurau itu indah selagi ia berlaku di atas prinsip-prinsip gurauan yang digariskan. Pastikan gurauan itu benar bukannya dusta. Usah berlebih atau keterlaluan dalam bergurau hingga hilang wibawa dan mematikan hati. Gurauan juga perlu sesuai pada masa, suasana dan tempat. Orang bertakwa ikhlas dalam bergurau, In sha Allah akan diberi panduan oleh Allah SWT untuk bergurau dengan keadaan yang benar dan betul dan tidak melampau. Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilang kesungguhan, tanpa bergurau tawar kehidupan.

No comments:

Post a Comment

Silakan Beri Pandangan/Pendapat Anda Yang Baik Dan Bernas DiJadikan Pengajaran Imu Dan Pelajaran..