"Andai Kalian Mengetahui Apa Yang Aku Ketahui, Nescaya Kalian Akan Sedikit Tertawa Dan Banyak Menangis.”(Hadith Riwayat: Bukhari Dan Muslim)..






Sombong Penghalang Masuk Syurga

Banyak kisah mengenai kebinasaan yang diterima oleh mereka yang bersikap angkuh tetapi nampkanya masih ramai lagi yang bersikap begitu terhadap sesama manusia. Sebagai contoh, iblis telah diusir dari syurga kerana sifat sombongnya yang tidak mahu sujud kepada Nabi Adam a.s. Begitu juga kisah Qarun dan seluruh harta bendanya kerana sikap sombong kepada kaumnya juga terhadap Allah s.w.t.

Firaun dan bala tenteranya juga menerima nasib yang sama apabila ditenggelamkan ke dalam laut kerana sikap sombongnya yang mengakui diri sebagai Tuhan.

Kaum Nabi Lut a.s. juga mengalami nasib yang sama apabila mereka sombong dengan menolak kebenaran yang disampaikan Nabi Lut a.s. supaya meninggalkan tabiat buruk. Mereka mengamalkan penyimpangan seksual dengan memilih pasangan hidup sesame jenis (homoseks) sehinggakan pada suatu pagi, Allah s.w.t membalikkan bumi tempat tinggal mereka dan tiada seorang pun daripada mereka yang dapat menyelamatkan diri dari azab-Nya.

Mengapakah kita dilarang bersikap sombong dan angkuh? Ini kerana manusia adalah makhluk yang lemah. Tidak layak makhluk yang lemah itu bermegah-megah dan sombong terhadap Allah s.w.t yang menjadikan alam semesta ini.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, masih ramai manusia yang lupa diri sehingga menjadi sombong dan angkuh untuk menerima kebenaran, memandang rendah orang lain dan menganggap diri sempurna segala-galanya.

Rasulullah s.a.w telah mengingtkan betapa bahayanya sifat sombong, sebagaimana dilaporkan oleh Abdullah bin Mas'ud r.a., Rasulullah s.a.w berkata : "Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong". Kemudian seseorang itu berkata : "Ya Rasulullah, sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus". Rasulullah s.a.w menjawab : "Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain". - hadis riwayat Muslim.

Dalam al-Quran, Allah s.w.t turut mengingatkan : "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan dibumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong , takbur lagi membanggakan diri". - surah al-Luqman : 18.

Allah berfirman lagi : "(Setelah itu) dikatakan kepada mereka : Masukilah pintu-pintu Neraka Jahanam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang yang sombong, takbur ialah Neraka Jahanam". - surah al-Zumar : 72.

Rasulullah s.a.w berkata : "Tidak akan masuk syurga siapa yang ada di dalam hatinya sedikit kesombongan". - Hadis riwayat Muslim.

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w berkata : "Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang penghuni syurga? Para sahabat menjawab : "Tentu wahai Rasulullah", lalu baginda berkata : "Penghuni syurga adalah orang yang lemah lagi direndahkan orang lain, kalau dia bersumpah (berdoa) kepada Allah s.w.t nescaya Allah kabulkan doanya. Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang penghuni neraka? Para sahabat menjawab : "Tentu wahai Rasulullah" , lalu baginda berkata : "Penghuni neraka adalah orang yang keras kepala, berbuat sesuka hati (kasar), lagi sombong perangainya".- hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Orang yang sombong akan mendapat kehinaan di dunia ini yang berupa kejahilan sebagai balasan daripada perbuatannya. Allah s.w.t tidak suka manusia memiliki sifat ini kerana sombong merupakan perangai iblis. Ketika Allah memerintahkan ia bersujud kepada Adam a.s, ia enggan kerana merasakan dirinya lebih baik. Sebaliknya, Nabi Adamlah yang perlu bersujud kepadanya. Ini kerana ia dijadikan daripada api dan Nabi Adam a.s pula daripada tanah.

Firman Allah s.w.t : "Ketika kami berfirman kepada para para malaikat, sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk dalam golongan orang yang kafir".- surah al-Baqarah : 34.

Iblis merupakan makhluk pertama yang bersikap takbur terhadap Allah s.w.t. Makhluk Allah s.w.t sebelum itu, tiada yang berani membantah apatah lagi mempertikaikan sebarang perintah Allah s.w.t termasuk malaikat dan jin.

Menurut iblis seperti yang direkodkan oleh Allah s.w.t : "Aku lebih baik daripadanya (Adam). Aku dijadikan daripada api sedangkan dia dijadikan daripada tanah". - surah al-A'raf : 11-12.

Demikianlah betapa beraninya iblis menentang arahan Allah s.w.t. Inilah perangai iblis, ia amat berani bertakbur dengan Allah s.w.t yang menciptanya sedangkan jika Allah s.w.t mahu, Dia boleh musnahkan iblis yang sombong itu bila-bila masa sahaja. Tetapi Dia memberi peluang kepada iblis untuk melaksanakan misinya, iaitu menggoda manusia kea rah kesesatan, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dengan penuh keihklasan semata-mata kerana mengharapkan redha dan kasih sayang Tuhannya.

Sebaik-baiknya, kita perlu mencontohi para malaikat. Ketika diperintahkan agar bersujud kepada Nabi Adam a.s, mereka terus sahaja sujud tanpa banyak soal atau bantahan. Sedangkan kejadian malaikat juga tidak kurang hebatnya, iaitu mereka dijadikan daripada cahaya. Kalau malaikat ingin membantah, sudah tentu mereka laya. Namun, mereka sedar bahawa tanah, api, atau cahaya semuanya sama di sisi Allah s.w.t kerana mereka semua adalah makhluk-Nya.

Allah s.w.t memerintahkan agar kita bersikap tawaduk dan rendah diri. Semua kita ini adalah hamba Allah s.w.t yang berasal dari setitis air mani yang hanyir lagi hina. Kemudian menjadi seketul darah yang hita,. Oleh itu, apalah yang hendak dibanggakan? Akhir sekali nanti, kita akan kembali kepada pencipta dalam keadaan kaku dan tidak bernyawa. Tidak mampu melakukan apa-apa lagi dan tidak berkuasa menolak takdir yang telah dijanjikan itu.

Oleh itu, berwaspadalah dengan sifat sombong ini. Banyakkan berdoa agar dijauhi sift yang dibenci Allah ini. Mudah-mudahan kita dijauhi dari bakaran api neraka yang sentiasa marak menyala-nyala.


No comments:

Post a Comment

Silakan Beri Pandangan/Pendapat Anda Yang Baik Dan Bernas DiJadikan Pengajaran Imu Dan Pelajaran..