Kita lahir tidak punya apa-apa, bahkan sehelai kain untuk menutupi tubuh kita. Begitu juga ketika mati, kita tidak punya apa apa kecuali seutas kain belacu (putih) untuk menutupi tubuh kita. Apa yang harus kita banggakan semua harta benda. Semuanya pada hakikatnya adalah karena Allah. Terlalu bodoh ketika kita mengagungkan harta benda sebagai sesuatu yang menjadi segala-galanya dalam hidup ini.


Friday, 7 July 2017
Cara Cara Berubah Secara Istiqamah.. Insya Allah..
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Segala puji bagi Allah S.W.T. Tuhan yg mencipta segala kejadian. Selawat dan salam keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. serta keluarga dan sahabatnya sekalian
Daripada Abu Darda’ RA bahawa dia mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya : “Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.” (Riwayat Muslim).
Istiqamah. Huruf yang ringan dibicarakan namun liat dan begitu berat untuk melakukannya. Ada pelbagai aspek istiqamah yang kita boleh adaptasi. Antaranya:
1) Orang yang ingin berhijrah daripada dunia jahiliahnya.
2) Orang yang ingin berubah daripada tabiat yang buruk kepada tabiat yang lebih baik, sekaligus meninggalkan tabiatnya yang buruk.
3) Orang yang ingin menjadikan rutin hariannya produktif tanpa sesaat pun mensia-siakan masanya di dunia.
Dan ada pelbagai jenis istiqamah yang boleh kita renungkan. Akhirnya pasti jawapannya adalah, untuk berubah ke arah sesuatu yang lebih baik.
Berubah secara berterusan ini adalah, antara yang kita boleh lakukan supaya paling minima, kita menghasilkan perubahan walau sekecil zarah. Kerana sesungguhnya gunung-ganang itu terdiri daripada kerikil-kerikil kecil.
Anda boleh lakukan cara ini mengikut kesesuaian anda. Mungkin tidak perlu ikut urutan.
Istiqamah #1 – Matlamat Yang Jelas
Andai kita belajar hadis, perkara yang pertama yang disebut adalah tentang niat. Begitulah pentingnya sebelum kita berubah, kita jelaskan matlamat ‘kenapa kita nak berubah?’. Analoginya begini:
Kita nak pergi ke sesuatu tempat. Pasti ada destinasi betul? Apabila kita tahu destinasi, maka kita akan lebih mudah dapat membuat pilihan dan keputusan, jalan mana yang mahu digunakan untuk ke sana.
Nah! Beginilah pentingnya menetapkan matlamat tentang, ‘mengapa kita nak berubah?’. Minda ini apabila kita jelaskan apa yang kita mahu, maka inshaAllah lebih mudah ia faham dan memberi arahan kepada yang lain.
Ambil satu kertas A4, jawab 2 soalan di bawah,
Mengapa aku nak berubah? Apakah impak apabila aku berubah? catat tulis
Mencatat perkara penting membantu sebagai peringatan berterusan.
Anda boleh bermula dengan menulis perkara-perkara negatif. Contoh:
“Aku tak suka, aku selalu solat lewat.”
Selepas anda senaraikan semua perkara-perkara negatif yang menyebabkan anda ingin berubah, tukarkan kepada ayat-ayat positif seperti contoh di bawah:
“Aku suka, aku selalu solat awal waktu.”
Kemudian, slash ayat-ayat negatif yang anda tulis tadi. Hasilnya, otak anda akan mula fokus apa yang anda inginkan. Barangkali antara sebab kita masih berubah, kita fokus kuat kepada perkara-perkara yang kita tidak suka. Dan ia semakin membuat kita membencinya. Justeru, tukar fokus kita. Mula fokuskan pada perkara-perkara positif.
Istiqamah #2 – Melazimi Taubat
Mungkin istiqamah yang anda sangkakan bukan tentang dosa, namun pasti yang anda mahukan adalah perubahan yang lebih baik kan? Syarat untuk berubah adalah meninggalkan yang tidak mahu, dan mula fokus kepada perkara yang kita mahu. Ada pepatah dalam bahasa Inggeris, “Let go of the past and the past will let go of you.”
Taubat adalah bermaksud menyesali perbuatan lalu dan berazam memperbaiki perbuatan akan datang. Yakni, kita nak bina sesuatu yang baru dalam diri kita, dan syaratnya adalah perlu meninggalkan perbuatan lalu.
“Jika kamu bertaubat sehingga taubat itu gugur dan kamu kembali melakukan dosa, maka, bersegeralah bertaubat kembali! Katakanlah pada dirimu: Moga-moga aku mati sebelum sempat mengulangi dosa kali ini.” Imam Ghazali
Selagi kita masih di takuk yang lama, pasti susah untuk kita beralih kepada sesuatu yang baru betul? Justeru, penting untuk sentiasa melazimi taubat.
Supaya kita sentiasa bersihkan diri daripada perkara-perkara lalu, sama ada dosa atau tabiat buruk, seterusnya fokus dengan keras untuk membina pahala dan tabiat baru yang lebih baik.
Istiqamah #3 – Berdoa Kepada Allah
Mu’az bin Jabal ra menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah saw memegang tangannya seraya mengucapkan: “Hai Mu’az, demi Allah sesungguhnya aku benar-benar mencintaimu. Demi Allah, aku benar-benar mencintaimu.”
Lalu baginda bersabda, “Aku wasiatkan kepadamu hai Mu’az, jangan kamu tinggalkan bacaan setiap kali di akhir solat hendaknya kamu berdoa, ‘Allahumma a’in ni ‘ala zikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatik’ (Ya Allah, bantulah aku untuk mengingat-Mu, bersyukur kepadaMu, dan beribadah dengan baik kepada-Mu).” Riwayat Abu Daud
Doa adalah penyerahan bukan tuntutan. Selepas kita berniat, kita serah ke Allah terus untuk menguruskan diri kita. Sesungguhnya Allah sebaik-baik pengurus. Hatta jantung yang berdegup inipun kita tidak mampu uruskan, apatah lagi, menguruskan seluruh diri kita.
doa taubat
Berdoalah kepada Allah, memohon hidayah dan rahmat limpah kurniaNya.
Boleh juga baca doa ini supaya Allah membaiki segala urusan kita, dan seterusnya menguruskan diri kita mengikut kebijaksanaan-Nya:
“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata.” Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani
Istiqamah #4 – Mulakan Dengan Perubahan Yang Ringan Dan Termampu
Jangan gelojoh. Tergesa-gesa itu daripada syaitan. Analoginya, andai sekarang berat kita 150kg, jangan gelojoh mahu terus turunkan kepada 50kg. Hatta Al-Quran diturunkan secara berperingkat.
“Jangan takut perlahan. Yang lebih patut ditakuti adalah, apabila tidak bergerak langsung.”
Lebih baik turunkan berat badan sedikit demi sedikit secara natural dan tanpa penyakit. Berbanding, turun menjunam namun mendapat 101 penyakit kerana, pemakanan yang tidak sihat dan penggunaan produk kuruskan badan yang banyak. Ini analogi sahaja supaya lebih mudah faham.
Daripada Aisyah rha, Nabi Muhammad saw bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Contoh, seumur hidup tak pernah baca Al-Quran terjemahan. Jangan terus gelojoh mahu habiskan satu juz. Memadai baca 1 ayat pada tiap hari. Biar perlahan asal bergerak.
Contoh lain, bagi yang ingin melatih fokus, boleh mulakan tugasan itu tiap 5 minit. Selepas itu andai rasa boleh lama, teruskan. Sekiranya rasa sudah tak mampu, berhenti sekejap, dan sambung semula. Biar perlahan asal tugasan itu dapat diselesaikan sedikit demi sedikit.
Istiqamah #5 – Pilih Persekitaran Yang Sama Dengan Misi Kita
Rasulullah saw bersabda, “Perbandingan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi.
Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi, atau engkau akan membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau harum darinya.
Sedangkan tukang besi, mungkin (percikan apinya) mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak enak.” Riwayat Bukhari 5534 dan Muslim 2628
Andai kita pelajar yang mahu capai segala yang baik pada nilaian Allah, bergaul lah dengan orang yang sama misi dengan kita. Supaya misi kita tidak terganggu sebaliknya saling mendorong sesama rakan bagi mencapai misi itu.
Persekitaran yang baik dapat membawa hati dan jiwa yang tenang.
Andai kita orang yang mahu berniaga, maka bergaul lah dengan orang yang sudah lama berniaga. Supaya daripada situ, kita boleh mendapatkan tip perniagaan daripadanya. Berbanding kita bersama dengan orang yang tidak suka berniaga, pasti dicemuh atau direndah-rendahkan niat kita untuk mulakan pernaigaan.
Istiqamah #6 – Jaga Solat, Dan Sentiasa Mengingati Allah
Solat mempunyai rahsia tersembunyi yang boleh membantu kita perbaiki perubahan kita. Andai kita seorang yang suka bertangguh, cuba kita perhatikan adakah kita seorang yang selalu melengahkan solat?
Andai kita seorang yang selalu tergesa-gesa, cuba renung cara kita solat. Adakah tergesa-gesa atau secara perlahan-lahan dan khusyuk? Pepatah Inggeris mengatakan
“How you do anything is how you do everything.”
Pasakkan diri untuk sentiasa berusaha menunaikan solat pada awal waktu, dan memperbaiki cara kita solat selama 21 hari. Kemudian, lihat bagaimana kehidupan kita setelah memperbaiki solat kita. InshaAllah pasti ada perubahan untuk projek istiqamah kita.
Solat - Solat merupakan salah satu tanda kita sebagai hamba mengingati Pencipta.
Di samping itu, bagi meningkatkan potensi perubahan kita, usahakan untuk sentiasa mengingati Allah. Sama ada berzikir atau berdialog atau meluahkan kepada Allah apa yang kita mahukan untuk perubahan kita itu, dan betapa kita sangat perlukan Allah untuk membuat transformasi kita berjaya dengan izin-Nya.
Istiqamah #7 – Bersyukur Pada Tiap Proses
Apabila kita masuk syurga, apa yang kita boleh raikan bukanlah tentang matlamat kita dapat masuk syurga. Tetapi proses yang telah kita lalui untuk masuk ke syurga.
Satu kegembiraan yang tak dapat diluahkan dengan kata-kata.
Hari itu adalah hari kita raikan segala usaha dan penat lelah. Sama juga dalam projek istiqamah ini.
Setelah berjaya satu perkara yang buat kita gembira, dan berpuas hati pada hari itu, tulis dalam satu buku yang kita boleh namakan sebagai, Buku Kejayaan.
ContohNya. Tulis Pada Tarikh Sekian, Bulan Sekian, Tahun Sekian... Apa Yang Kita Lakukan.. 20 April 2013.. Seumpama Di bawah Ini Yang Di Senaraikan:
1. Saya siapkan kerja kerja saya bersama rakan dalam masa 3 jam.
2. Saya telefon ibu/ayah/isteri/anak/kawan kawan selama 5 minit untuk bertanya khabar.
3. Saya baca 1 ayat Al-Quran nombor 216 dalam surah Al-Baqarah.
Antara tip hidup tenang adalah kita membandingkan diri kita pada hari semalam dengan hari ini. Bukan dengan membandingkan diri kita dengan diri orang lain yang sudah Bab 20, sedangkan diri kita yang baru Bab 1.
InshaAllah dengan menulis dalam Buku Kejayaan, kita lebih jelas tentang perubahan yang kita lakukan. Sedikit namun ada penambahbaikan pada tiap hari.
Buku Kejayaan juga adalah salah satu cara kita bersyukur kepada Allah dan diri, bahawa kita dapat buat lebih baik pada hari itu berbanding sebelum ini.
RumusanNya – Jangan Pandang Belakang, Jalan Terus
Allah tidak akan jemu selagi kita tidak jemu untuk berubah. Allah tidak melihat hasil, sebaliknya Allah melihat usaha kita. Walau kita berusaha sekecil 0.0001mm, pasti Allah akan mengganjarkan usaha kita berubah ke arah lebih baik untuk-Nya.
Perbanyakkanlah apa yang Allah suka, inshaAllah Allah beri apa yang kita suka mengikut kebijaksanaan-Nya. Saat kita ada terdetik untuk meminta, barangkali itu tanda Allah nak beri. Justeru, mintalah.
Istiqamah untuk memulakan transformasi. Selamat berjuang! Bismillah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Silakan Beri Pandangan/Pendapat Anda Yang Baik Dan Bernas DiJadikan Pengajaran Imu Dan Pelajaran..