"Andai Kalian Mengetahui Apa Yang Aku Ketahui, Nescaya Kalian Akan Sedikit Tertawa Dan Banyak Menangis.”(Hadith Riwayat: Bukhari Dan Muslim)..






Saturday, 17 June 2017

Tadbir Takdir Dengan Iman

HIDUP lawannya mati. Apabila sampai waktunya kita akan pergi ke alam abadi menemui Ilahi. Cara kematian kita dan bila kita mati itu menjadi rahsia Ilahi. Ada orang meninggal dunia kerana sakit, dan ada pula yang meninggal dunia tanpa sebarang sakit. Contohnya, umurnya habis ketika dalam tidur. Bagaimana pun cara kematian itu, ia memberikan kesedihan buat ahli keluarga yang ditinggalkan.

Kesan kehilangan orang yang disayangi secara mengejut dan tidak disangka-sangka ini, jika tidak dikawal dan dirawat dengan baik akan meninggalkan kesan negatif dan kemurungan yang berpanjangan dalam hidup keluarga yang ditinggalkan. Berbanding dengan kehilangan orang yang tersayang, yang kita tahu dia sakit berbulan-bulan atau terlantar sakit dalam keadaan koma berhari-hari, keluarga telah bersedia untuk menerima hakikat bahawa mereka akan kehilangan orang yang tersayang.

Kesedihan itu menjadi berganda kerana kita berasa belum puas untuk berkasih sayang, dan orang yang kita sayang itu pergi secara tiba-tiba. Disentap Allah dalam keadaan kita tengah sayang dan belum bersedia untuk kehilangan mereka.


Kita berasa ralat dan terkilan; kalaulah kita tahu pertemuan kita dengan ahli keluarga atau rakan taulan kita yang meninggal dunia itu adalah pertemuan terakhir, tentulah kita membuat sesuatu yang terbaik untuk dia yang telah pergi itu.

Kalaulah kita tahu itulah pertemuan dan lambaian terakhir kita untuk dia atau mereka yang telah pergi buat-buat selama-lamanya secara mengejut itu, tentulah kita akan tidak putus-putus mengucapkan bahawa kita amat menyayangi, kita kasih dan cinta kepada dia/mereka, dan kita tidak sanggup untuk berpisah dengan dia/mereka.


Kita mahu orang yang telah pergi buat selama-lamanya itu tahu bahawa kita amat menghargai kehadiran dia/mereka dalam hidup kita. Kita juga tentu mahu orang yang kita sayang, yang telah meninggalkan kita itu tahu, bahawa dia/mereka adalah orang yang penting dan amat bermakna dalam hidup kita, yang selama ini memberikan cahaya kebahagiaan dalam keluarga. Tetapi, hakikatnya takdir dalam genggaman Allah SWT, tidak ada siapa yang tahu bila kita akan mati?

Iktibarnya, lihatlah betapa pentingnya kita menyatakan menyayangi dan menghargai antara satu sama lain. Apatah lagi kepada orang yang banyak berjasa kepada kita, orang yang rapat dan penting dalam hidup kita. Bermurah hatilah untuk sentiasa memberikan senyuman, mengucapkan sayang, berterima kasih, menghargai, serta jauhkan sama sekali berdendam, berdengki, berprasangka buruk dan berperasaan negatif terhadap sesama kita.


Hanya orang yang pernah mengalami pengalaman kehilangan orang yang tersayang secara tiba-tiba ini sahaja yang tahu betapa berat untuk menerima hakikat ini. "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul". Apa yang perlu keluarga yang menerima ujian ini lakukan pertama, pujuklah hati sendiri untuk menerima hakikat bahawa orang yang kita sayangi telah tiada. Usahlah berkata, "Tempat bergantung kita telah tiada, kerana kita ada tempat pergantungan yang kekal untuk selama-lamanya, iaitu Allah SWT."

Kedua, kuatkan akidah. Kepercayaan yang kukuh kepada qada dan qadar Allah SWT sebagai Rukun Iman amat perlu. Apabila kita terima peristiwa kehilangan orang yang tersayang ini sebagai ujian daripada Allah serta kita sabar dan reda, kita akan tenang. Terima hakikat bahawa, kita ialah orang yang terpilih untuk menerima ujian Allah. Sebenarnya setiap hari, setiap masa, dan setiap saat kita diuji. Bersedialah untuk menerima ujian daripada 'Pembuat Ujian' dan 'Pemeriksa Ujian', iaitu Allah SWT.


Analoginya seperti kita seorang pelajar, selepas kita menghadapi ujian dan melepasi ujian dengan markah yang cemerlang diberikan oleh pensyarah, kita akan berasa bersyukur, bahagia dan berpuas hati. Segala penat lelah dan susah payah, yang kita telah lakukan untuk melalui ujian itu amat berbaloi.

Pandanglah dengan 'Mata hati' (keimanan). Kita mesti yakin, beriman dan percaya bahawa Allah hanya memberikan ujian untuk orang tertentu dan terpilih sahaja. Iaitu orang yang Dia sayang, supaya kita semakin rapat dengan-Nya. Allah tahu adakah kita mampu menanggung ujian itu ataupun tidak? Dan Allah tidak akan mungkiri janji bahawa selepas kegelapan ada cahaya yang menanti di hadapan kita. Kesyukuran dan ketakwaan adalah cara terbaik kita mentadbir takdir Ilahi.


Apabila ada tragedi kematian yang tidak disangka-sangka, siapa pun mereka; tidak kira apa agamanya dan apa bangsanya kita tidak dapat menyeka air mata daripada mengalir, lebih-lebih lagilah keluarga orang yang terlibat dalam kematian itu. Sebenarnya kepada keluarga yang ditinggalkan, kalau hendak menangis, menangislah jangan ditahan air mata. Tetapi, jangan sampai hilang punca hingga mempersoalkan ketentuan Allah.

Menangis itu satu terapi dan lain orang lain penerimaan dan pembawaannya. Ada orang yang mula-mua tidak menangis dengan kehilangan orang yang tersayang, dia seolah-olah menerima hakikat kehilangan itu. Tetapi, selepas seminggu atau sebulan baru dia menangis kerana dia baru sedar bahawa dia tidak boleh 'menipu' dirinya, untuk menafikan orang yang disayanginya itu telah tiada, dan dia tidak tertahan lagi menanggung kesedihan yang dipendamnya sebegitu lama.



No comments:

Post a Comment

Silakan Beri Pandangan/Pendapat Anda Yang Baik Dan Bernas DiJadikan Pengajaran Imu Dan Pelajaran..